10 ARTIKAL USAHAWAN WANITA MALAYSIA

Norhedayah Mesiran Tauke Tempe


TEMPE merupakan makanan tradisi masyarakat Jawa. Setiap kali majlis keraian atau kenduri, pasti tempe tidak ketinggalan dijadikan sebagai salah satu hidangan wajib yang dihidangkan bersama pelbagai juadah lain.

Tempe juga begitu sinonim dengan masyarakat Johor terutama apabila tibanya musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri. Ia merupakan salah satu ramuan untuk memasak juadah hari raya yang dipanggil sayur lodeh di samping menu lain termasuk rendang serta ketupat.


Permintaan terhadap tempe pastinya akan meningkat setiap kali tiba musim perayaan. Tanpa tempe juadah yang terhidang bagaikan tidak lengkap justeru di negeri Johor khususnya di Batu Pahat, menyebabkan pengusaha tempe sering tidak menang tangan.


Kini, zaman telah berubah. Namun tempe tetap menjadi pilihan. Selain menjadi makanan tradisi masyarakat Jawa, tempe kini telah mula dikomersialkan sebagai kerepek tempe yang mudah dan senang didapati meskipun bukan pada musim perayaan.


Menyedari tempe berpotensi besar untuk dikembangkan Norhedayah Mesiran, 34, mengambil inisiatif untuk mengembangkan lagi perusahaan tempe warisan keluarga turun temurun yang dahulunya diusahakan oleh ibunya Mariam Sarkam dan ayahnya Mesiran Rosman.


Sebagai seorang graduan dalam bisnes dari salah sebuah universiti swasta, Norhedayah melihat jauh ke hadapan terhadap potensi produk berasaskan tempe ini. Dengan bantuan seluruh ahli keluarga mereka kini telah selangkah ke hadapan bagi meningkatkan lagi mutu produk.


Bersama adiknya Riduan Mesiran, 29, yang bertindak sebagai Pengurus Operasi mereka telah menubuhkan syarikat Perniagaan D'Sinar yang bertindak sebagai pengeluar dan pengedar kerepek tempe pelbagai perisa.


Jika dahulu ibunya mengusahakan kerepek tempe dengan berbekalkan kudrat empat kerat tanpa bantuan mesin canggih, kini mereka tidak lagi menggunakan ramai pekerja terutama untuk menggoreng tetapi mereka telah mempunyai mesin menggoreng dengan teknologi terkini.


Menurut Nurhedayah, dahulu ibunya hanya membuat tempe biasa yang dibungkus menggunakan daun. Ia sering digunakan dalam pelbagai masakan sejak turun temurun lagi yang merupakan warisan keluarga mereka serta dijual hanya sekitar tempat tinggalnya sahaja.


Bagaiamanapun, sejak lima tahun lalu beliau mula membantu ibunya menguruskan pelbagai hal bagi menjadikan tempe sebagai kerepek dengan pelbagai perisa iaitu ketumbar, kari, lada hitam dan lada serta berusaha untuk dipasarkan lebih jauh.


''Walaupun perusahaan ini sudah lama diusahakan tetapi masih belum dikomersialkan secara besar- besaran. Hanya setelah saya mengambil alih tugas daripada ibu saya barulah saya cuba membuka ruang untuk meluaskan pasaran," jelasnya.


Bermula dengan RM500 sebagai modal pusingan, beliau kini memiliki modal pusingan mencecah RM30,000 sebulan. Bermula dari situ mereka mengembangkan perusahaan tempe dengan menghasilkan kerepek tempe pelbagai perisa.


Paling menarik, kerepek tempe syarikat mereka lengkap dengan sambal kicap tradisi masyarakat Johor manakala perisa tempe pedas ia dicampur kacang tanah dan ikan bilis goreng.


Dahulu, mereka terpaksa menggunakan tenaga pekerja yang ramai untuk melakukan pelbagai kerja seperti memotong dan menggoreng. Kini mereka telah mempunyai dua mesin pemecah kacang soya, satu mesin pemotong, satu mesin untuk mencampurkan adunan (mixer), satu mesin pengisar kering dan satu kuali keluli tahan karat.


Menurut Norhedayah, dia telah mengikuti kursus teknologi makanan di Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Johor Bahru untuk menimba ilmu dan meminta khidmat nasihat dalam perusahaan tempe. Ia tidak sia- sia apabila semakin hari perusahaan tempe warisan keluarga ini semakin berkembang.


Ketika memulakan perniagaan ini dahulu mereka hanya mengusahakannya di rumah sahaja dan dibantu oleh dua orang pembantu serta menggunakan tenaga kerja manusia tanpa mesin. Tetapi kini mereka mempunyai bangunan sendiri yang bernilai kira-kira RM40,000.


''Kenangan yang paling menarik ketika mula mengusahakan kerepek tempe ini ialah kami memecahkan kacang soya yang telah siap direbus untuk dibuat tempe menggunakan mesin memproses getah keping dan memotong tempe dengan menggunakan mesin khas," jelasnya.


Meskipun pada awal pembabitannya dia agak gementar, kini dia mampu tersenyum bangga kerana segala usahanya mula membuahkan hasil dan dilengkapi dengan anggota keluarga yang sentiasa memberi sokongan.


Menurut Norhedayah, dia berharap dapat menepis persepsi masyarakat terhadap tempe yang dikaitkan hanya untuk masyarakat Jawa.


Justeru, dia bercita-cita mengetengahkan makanan yang berasaskan soya ini supaya menjadi lebih komersial dan dinikmati oleh setiap lapisan masyarakat.
Memandangkan tempe biasa yang bersaiz kecil, dia dan kedua orang tuanya mula membuat kajian sendiri bagaimana untuk menghasilkan tempe dalam bentuk bulat agar senang dipotong dan cantik bila digoreng.


Nurhedayah serta kedua-dua orang tuanya berjaya menemui satu teknik menghasilkan tempe berbentuk bulat iaitu seperti bentuk lemang dan ternyata idea mereka berjaya.


Alat pencetak bulat yang dibuat oleh mereka sekeluarga mampu menjadikan kerepek tempe itu nampak lebih komersial.


''Dengan kerepek tempe tiga perisa ini produk tempe warisan ini berjaya dikembangkan hingga memasuki pasaran Singapura, Brunei dan juga Iran," jelasnya.


Bagaimanapun katanya, jumlah permintaan yang semakin tinggi memungkinkan beliau mengambil lebih ramai pekerja kerana pekerja yang ada sekarang tidak mencukupi untuk membuat tempahan yang lebih tinggi.


Setiap paket kerepek berisi setengah kilogram kerepek tempe dijual sekitar RM6. Kerepek itu akan dihantar kepada tujuh pemborong tetap di seluruh negeri Johor juga kepada sebuah koperasi di sekitar daerah ini secara tetap.


Tambahnya, kerepek-kerepek berkenaan boleh tahan lebih tiga bulan. Selama ini mereka tidak pernah mendapat maklum balas negatif daripada mana-mana pihak tentang produk keluarannya.


Nurhedayah yang mengusahakan perusahaan tempe ini bersama keluarganya di No. 148 Kampung Sungai Nibong Darat, Semerah, Batu Pahat berharap agar satu hari nanti kerepek tempe keluaran syarikatnya mampu dinikmati oleh semua masyarakat di dalam dan luar negara.


Untuk itu beliau bercita-cita untuk menambah baik lagi teknologi pembuatan agar ia dapat menambah lagi pengeluaran produk. Di samping itu berusaha untuk membuat pembungkusan yang terbaik serta pelabelan dan penjenamaan agar lebih menarik untuk pasaran global.


Selain kerepek tempe, beliau juga mengusahakan kerepek pisang, keledek, keladi yang mana bahan mentah tidak menjadi masalah kerana ia mudah didapati di sekitar kawasan kampungnya dan secara tidak langsung dapat membantu penduduk kampung menjual hasil pertanian mereka.


Kegigihan dan kesungguhan Nurhedayah serta ahli keluarga lainnya mengetengahkan produk berasaskan kayang soya dengan menghasilkan kerepek tempe pelbagai perisa telah menarik minat Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Noraini Ahmad untuk meninjau perusahaan yang mereka jalankan baru-baru ini.


Dalam lawatan itu Noraini berasa kagum dengan idea anak-beranak ini menghasilkan tempe berbentuk bulat yang mana ia adalah teknologi yang mereka cipta sendiri dan belum pernah terfikir oleh orang lain.


''Jika sebelum ini saya hanya lihat tempe dibungkus dengan daun dan surat khabar lama. Tetapi kini saya lihat tempe dibuat dalam bentuk bulat seperti lemang yang pertama kali saya lihat, memang menarik dan sesuai untuk dibuat kerepek secara komersial," jelasnya.


Tambah Noraini, perusahaan tempe warisan keluarga ini merupakan salah satu produk yang mampu menaikkan nama Parlimen Parit Sulong khususnya dan negeri Johor amnya dalam Perusahaan Kecil Dan Sederhana (PKS) yang merupakan satu kelainan.


Melihat kelainan dan cita-cita keluarga ini untuk memasarkan produk mereka ke seluruh negara dan luar negara, beliau yakin produk ini boleh pergi jauh kerana ia menepati ciri-ciri kebersihan dan amalan pengilangan yang baik.


''Saya yakin produk ini mampu di eksport ke luar negara kerana ia lain dari yang lain dan pihak pengusaha harus cuba untuk membuat pelabelan dan penjenamaan yang sesuai untuk pasaran antarabangsa," jelasnya.


Tambahnya, Pusat Khidmat Ahli Parlimen Parit Sulong sedia memberi khidmat nasihat dan bantuan yang sewajarnya bagi membantu Perniagaan D'Sinar mengetengahkan kerepek tempe pelbagai perisa untuk meningkatkan pasaran mereka.



Jutawan Wanita, Datuk Maznah Hamid : Securiforce Sdn. Bhd.

Sebuah syarikat keselamatan terkenal iaitu "SECURIFORCE SDN BHD". Memang diakui "Securiforce Sdn Bhd" adalah antara syarikat yang menawarkan khidmat kawalan keselamatan yang terkenal di Malaysia. Antara anak syarikat dibawah "Securiforce Sdn Bhd" ialah Securiforce Electronics, Securiforce Technologies, Securiforce Transport dan Securiforce Logistics.

Bermula daripada sebuah syarikat yang menawarkan perkhidmatan kawalan keselamatan, ia telah berkembang kepada perkhidmatan kargo,pengangkutan kargo,pembekalan sistem CCTV,central monitoring,sistem kawalan kebakaran dan pelbagai peralatan elektronik.

Siapakah tulang belakang yang mengerakkan syarikat ini dengan jayanya? Mungkin ramai yang fikir tunjang utama syarikat ini adalah lelaki. Beliau adalah Datuk Maznah Hamid. Usahawan wanita bumiputra yang terkenal dengan gelaran "wanita waja" atau "iron lady". Kejayaan beliau tidak perlu disangkal lagi kerana berjaya merangkul beberapa anugerah didalam negara seperti Anugerah Tokoh Usahawan - Dewan perniagaan Melayu Kedah, Anugerah Wanita kehormat- Universiti Putra Malaysia dan pelbagai lagi.

Sedikit sejarah hidup Datuk Maznah Hamid yang boleh dikongsi ialah permulaan beliau memulakan langkah pertama dalam bidang perniagaan kawalan keselamatan. Tahukah anda beliau hanya bermodalkan RM5000 sahaja semasa memulakan perniagaan kawalan keselamatan pada tahun 1981.Pada awal pembabitan dalam perniagaan ini, beliau sendiri turun padang sebagai pekerja menguruskan operasi syarikat daripada bill collector,peronda dan pengawal keselamatan sendiri.

Disinilah sebenarnya beliau dapat melihat bagaimana operasi perniagaan ini berjalan dan segala permasalahan dapat beliau atasi dan perbaiki. Kecekalan dan kesungguhan beliau membuatkan syarikat beliau berkembang kepada 50 buah cawangan diseluruh negara dengan kelengkapan alat kawalan keselamatan yg moden dan terkini.

Kejayaan beliau memang dicemburui banyak pihak tertuamanya bagaimana beliau dapat menjalankan perniagaan tanpa sesenpun bantuan dari pihak bank. Bagi beliau, modal sebenar dalam perniagaan adalah diri kita sendiri.Beliau sangat komited dalam mendidik masyarakat tentang dunia keushawanan dan kejayaan. Penubuhan MMC (Maznah MOtivational Centre) adalah bukti kesungguhan beliau dalam mendidik masyarakat dan melahirkan ramai lagi usahawan yg berjaya.


Mona Din : Hajaba & Leesa Formula

Pepatah berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dulu, bersenang-senang kemudian adalah paling sesuai untuk wanita bersemangat waja ini. Bukan sedikit pahit maung yang dilalui sebelum menduduki tahap selesa yang dikecap kini. Begitupun, keselesaan dan kesenangan yang dimiliki tidak pernah meletakkan beliau dalam keadaan alpa.

Malah, kesusahan yang pernah dilalui dulu dijadikan azimat pembakar semangat untuk diri melangkah ke puncak jaya di samping doa yang tidak putus terhadap Ilahi serta usaha berterusan yang cuba ditingkatkan dari semasa ke semasa demi mengukuhkan empayar perniagaan yang diceburi.
 

 ***Gigih merentas cabaran***


PASTINYA anda pernah mendengar mengenai Leesa Formula, set penjagaan badan untuk wanita yang diasaskan Mona Din, wanita yang menimba pengalaman dalam bidang pengiklanan dan kemudian beralih arah kepada bidang perniagaan selepas mengambil keputusan drastik meletakkan jawatan daripada tugas yang disandang.
Bermula dengan Leesa Formula yang diasaskan pada 2003, Mona kemudian melebarkan sayap perniagaan dengan menawarkan perkhidmatan kecantikan di salun yang dinamakan Serenity Spa. Serenity Spa mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat khususnya wanita yang peka terhadap penjagaan badan dan diri. Melangkah setapak ke hadapan, Mona meneroka cita rasa pengguna busana muslim dengan memperkenalkan jenama Hajaba.
Bayangkan, dalam tempoh hanya lima tahun, Mona dan suaminya berjaya mempunyai tiga cabang perniagaan yang berbeza iaitu Leesa Formula, Serenity Spa dan Hajaba.
“Saya bermula dengan Leesa Formula dan idea untuk mengeluarkan produk itu tercetus apabila saya mengikut suami menghadiri perbincangan perniagaan beliau. Ketika itu saya masih bekerja sebagai Pengurus Pengiklanan di sebuah syarikat penerbitan. Selepas beberapa kali menemani suami, saya terlintas untuk menyertai beliau dalam perniagaan. Bagaimanapun, ia tidak semudah yang disangka kerana banyak halangan yang terpaksa dilalui,” katanya.
Ketika membuat keputusan menyertai suami menceburi bidang perniagaan atau dalam erti kata lain, menjadi majikan kepada diri sendiri, beliau belum melepaskan jawatan dengan majikan terdahulu dan perkara pertama yang mengasak fikiran beliau ketika itu ialah mendapatkan modal untuk membangunkan perniagaan yang dipilih.
“Kami memerlukan modal permulaan RM150,000, tetapi sebagai orang yang makan gaji, manalah kita ada wang sebanyak itu. Oleh itu, kami cuba dapatkan pinjaman, walaupun sudah menyediakan kertas kerja lengkap dan mengikut segala syarat yang perlu dilakukan, saya masih menghadapi kesukaran mendapatkan pinjaman. Kebanyakan institusi kewangan hanya memberikan pinjaman apabila perniagaan yang kita bina itu sudah 30 peratus dijalankan.
“Mahu atau tidak, saya dan suami terpaksa meneruskan usaha yang sudah separuh jalan dilakukan dengan menjual dua kereta yang menjadi kegunaan kami setiap hari untuk mengumpul modal permulaan. Segala persiapan ke arah membangunkan perniagaan yang dipilih itu dilakukan dalam tempoh masa setahun. Ketika ini saya belum melepaskan jawatan dengan majikan dan menunggu masa untuk melahirkan anak keenam. Segala-galanya saya lakukan berdua dengan suami,” katanya.
Hasil jualan dua kereta, jenama Estima dan BMW, ditambah wang simpanan kecemasan sebanyak RM50,000, mereka berjaya mengumpul modal untuk memulakan perniagaan yang tidak pernah dilakukan sebelum ini. Dalam kepayahan menguruskan keluarga serta anak sulung yang mengalami masalah kesihatan dan perlukan perhatian lebih, Mona nekad meneruskan.
“Saya sedar kami seperti melakukan satu pelaburan yang belum tentu hasil pulangannya namun berbekalkan keyakinan dan pasrah kepada ketentuan Ilahi, saya dan suami sepakat meneruskannya. Andai perniagaan yang dirancang tidak menjadi, keselesaan hidup yang pernah dikecapi suatu masa dulu pasti sukar berulang. Perkara itu sama sekali tidak mematahkan semangat kami.
“Saya membulatkan tekat, menguatkan diri dan terus melangkah menghadapi segala onak dan duri tanpa mahu menoleh ke belakang lagi. Itu jugalah yang saya katakan pada suami. Tidak akan ada orang yang akan menolong kami kecuali kami berusaha sendiri. Pada masa sama, anak sulung saya, Nur Salima, semakin kritikal keadaannya kerana ada lubang pada injap jantungnya yang dikesan sejak kecil,” katanya.
Dengan niat ingin menguruskan perniagaan sendiri dan memberi lebih tumpuan kepada tugas menguruskan lima anak ketika itu, Mona akhirnya melepaskan jawatan di syarikat penerbitan itu walaupun perniagaan diusahakan belum menampakkan kejayaan, jauh sekali menuai hasil.
Dalam pada itu, beliau tidak duduk diam menunggu hasil kerana baginya, setiap detik yang berlalu adalah peluang yang tidak wajar dilepaskan begitu saja.
Justeru, beliau membuat kajian dan penyelidikan berkaitan pemasaran selain apakah lagi kelengkapan penjagaan kesihatan yang diperlukan pengguna dalam usaha mencapai tahap kesihatan yang selesa.
“Bidang perniagaan yang saya ceburi memaksa saya peka dengan banyak perkara. Saya tidak boleh bekerja sendiri kerana barangan penjagaan kesihatan yang ingin dipasarkan memerlukan kelulusan banyak pihak. Secara ringkasnya, banyak tapisan perlu dilalui selain mesti mendapatkan kelulusan pihak terbabit merangkumi pengkaji, penyelidik, pihak berkuasa, pakar pemakanan dan lesen yang sah.
“Malah, sebelum dipasarkan, ujian mesti dilakukan sebelum memperoleh bukti bahan yang dijual adalah selamat. Saya juga mewujudkan garis tertentu selain panduan yang diberikan pihak berwajib terhadap mutu produk yang dikeluarkan. Saya mencuba sendiri produk itu dan jika tidak berpuas hati, ia tidak akan dipasarkan,” katanya.
Mona berkata, kerjasama yang erat dengan pakar farmasi menyumbang kepada kejayaan sesuatu produk. Selepas bertungkus lumus menghasilkan formula set penjagaan badan, terhasillah Leesa Formula terdiri daripada set ibu bersalin, set pelangsingan badan, set kecantikan kulit, set penjagaan payu dara, produk kesihatan aloe vera dan gamat, produk penjagaan tulang dan sendi, set resdung, hidung tersumbat dan alahan muka serta produk intim manjakani.
“Berkat ketekunan saya dan suami, Leesa Formula mencatat kejayaan besar apabila pada bulan pertama, kami peroleh pendapatan RM300,000 menerusi pengambilan stokis di seluruh negara dan ini dijadikan modal pusingan bagi meneruskan perniagaan.
“ Angka itu menjadi penanda aras kepada syarikat kerana selepas bulan pertama, produk Leesa Formula terus berkembang sehinggalah ke hari ini, antara produk paling laris di dalam senarai jenama tempatan di pasaran Malaysia,” katanya.

***Lebar sayap perniagaan***

SELEPAS setahun beroperasi dengan hanya produk Leesa Formula, Mona berjaya membeli sebuah bangunan kedai lot tepi di Seksyen 13, Shah Alam. Enggan bermewah, beliau memutuskan untuk menjadikan tingkat bawah bangunan sebagai ruang pejabat Leesa Formula, manakala tingkat atas dicadangkan untuk perniagaan lain iaitu pusat rawatan badan. Itulah yang membawa kepada perniagaan kedua, Serenity Spa.
Semuanya dilakukan sendiri, bermula dengan konsep dan pemilihan hiasan dalaman, sehinggalah rawatan yang disediakan. Sekali lagi Mona berhadapan dengan situasi yang agak mendebarkan menunggu sambutan pelanggan terhadap spa yang diperkenalkan. Dalam pada itu, beliau tetap memupuk usaha dan menanam azam untuk memperbanyakkan bilangan spa dalam usaha memberikan khidmat kecantikan kepada wanita yang peka terhadap penampilan diri.
“Berkat usaha gigih kami, Serenity Spa yang diusahakan juga membuahkan hasil yang manis. Sejak pembukaan spa pertama itu, saya menerima panggilan daripada beberapa hotel untuk membuka spa itu di premis mereka, tetapi sebagai orang yang baru mula bertatih dalam bidang perniagaan manalah kami ada duit untuk menyewa ruang di hotel. Saya berunding dengan pihak hotel dan Alhamdulillah kami mencapai kata sepakat.
“Bermula dari situ, Serenity Spa semakin berkembang dan kini sudah ada lapan cawangan walaupun pada peringkat permulaan pelbagai kerenah birokrasi dihadapi. Saya dan suami bermula tanpa pengalaman dalam bidang kecantikan. Justeru, kami bersama-sama belajar daripada A hingga Z mengenai titik bengik perniagaan. Turun naik pejabat pihak berkaitan sudah menjadi kebiasaan dan itulah juga asam garam yang membuatkan kami ‘kebal’,” katanya yang cukup beruntung kerana mendapat sokongan padu suami dalam apa saja yang dilakukan.
Kejayaan mewujudkan lapan cawangan spa dalam tempoh 16 bulan menyuntik semangat baru kepada Mona. Pelbagai kajian dilakukan bagi mencari maklumat yang boleh ditawarkan kepada pengguna dalam situasi kini.
Walaupun bergelar ‘tauke,’ status itu tidak melekakan dirinya, malah beliau semakin bersemangat untuk terus merebut peluang yang ada dalam bidang perniagaan.
Mona mengakui bidang perniagaan amat mencabar kemampuan sebenarnya, lebih-lebih lagi bidang perniagaan kecantikan. Ada banyak perkara yang tidak boleh dipandang ringan kerana ia membabitkan kesihatan. Jika tersilap kenyataan, kesannya amat buruk kepada perniagaan.
Serenity Spa bukan hanya terkenal di seluruh negara, malah empat daripada lapan cawangan berlokasi di hotel terkemuka iaitu di Hotel Concorde Shah Alam, Hotel Grand Bluewave, Tanjung Puteri Golf Resort dan Hotel MSuites Johor Bharu. Spa berkenaan menjadi spa tempatan terbesar di Malaysia. Kejayaan Serenity Spa diiktiraf dengan pelbagai anugerah lain apabila Mona diangkat sebagai Spa Personality of The Year Award pada Januari lalu.
“Saya berharap kemenangan saya ini membuka mata ramai, lebih-lebih lagi apabila mengenangkan pelbagai dugaan dan kerenah birokrasi yang sangat mengecewa serta mematahkan semangat usahawan seperti kami untuk terus berkecimpung dalam bidang perniagaan. Walau sukar, saya bertekad untuk melalui semua kesulitan ini atas semangat juang bagi mewakili mereka yang benar-benar mahu berjaya dan mengusahakan bidang spa dengan penuh kejujuran dan bermoral,” katanya.
Tidak puas dengan apa yang dilakukan dan berasa masih ada kekosongan yang boleh diisi dalam bidang perniagaan, Mona mengambil kira keperluan wanita muslim yang ingin tampil bergaya, tetapi pada masa sama menjaga kesopanan dan kesusilaan penampilan mereka.
Penubuhan butik Hajaba pada Mei 2008 yang dipelopori Mona ternyata diterima dengan tangan terbuka oleh pengguna busana muslimah yang menawarkan tudung, telekung, pakaian kasual, pakaian umrah, jubah dan mini jubah kepada pengguna. Sejak pembukaan pertama di Shah Alam, butik Hajaba kini sudah mempunyai enam cawangan di seluruh negara hanya dalam masa empat bulan saja.
Malah, Mona boleh tersenyum lega kerana satu cawangan Hajaba turut sebaris dengan butik bertaraf antarabangsa lain di pusat beli-belah Bangsar Village. Menariknya, seperti Leesa Formula dan Serenity Spa, Hajaba juga ditubuhkan tanpa bantuan kewangan dari bank mahupun agensi kerajaan.



Nori Usahawan Magnet

Nori Anwar menunjukkan pelbagai bentuk fridge magnet yang dihasilkannya.
KEPUTUSAN Nori Anwar, 38, berhenti kerja bagi menjaga ibu tercinta tidak pernah dikesali, sebaliknya dia berbangga dengan tindakan itu
Malah langkah tersebut telah menemukannya dengan kerjaya baru iaitu sebagai usahawan.

Tambahan pula memang sejak dari awal beliau mempunyai keinginan yang tinggi untuk bekerja sendiri dan melibatkan diri dalam bidang perniagaan.

Kini bersama tiga rakan kongsi, Nori sudah boleh berbangga apabila produk Mymagneticmenu iaitu magnet hiasan peti sejuk yang berkonsep resipi masakan telah berkembang jauh dalam pasaran tempatan dan antarabangsa.

Nori berkata, idea menghasilkan magnet hiasan berkonsepkan resipi masakan muncul ketika dia sedang tercari-cari satu produk yang dapat menyelesaikan masalah orang ramai.

"Kebetulan kunjungan saya ke rumah kakak telah memberikan inspirasi untuk memulakan perniagaan Mymagnetikmenu.

"Kakak seorang pengumpul fridge magnet. Pintu peti sejuknya penuh dengan hiasan tersebut. Pada masa sama beliau juga suka mengumpul helaian-helaian kertas yang mengandungi menu masakan yang digunting dari akhbar dan majalah.

"Helaian tersebut akan ditampal di pintu peti sejuk menggunakan magnet tersebut. Keadaan itu nampak serabut dan mencacatkan pandangan selain menu yang ditampal mudah hilang," katanya.

Menurut Nori, berdasarkan pemerhatian dan kajian yang dilakukan, sesuatu produk untuk pasaran perlu memenuhi kriteria tertentu antaranya berfungsi untuk membantu menyelesaikan masalah orang ramai.

"Produk yang baik dapat menyelesaikan masalah selain tidak terlalu rumit serta menarik mata yang melihatnya.

"Hasil daripada pemerhatian itu, saya terfikir untuk menghasilkan fridge magnet berkonsep baru kerana ketika ini kebanyakan reka bentuk magnet yang ada di pasaran diambil dari negara luar," katanya.

Ujar anak kelahiran Selangor itu, firdge magnet berbentuk resipi merupakan yang pertama seumpama itu di Malaysia dan telah diterima baik di pasaran.

Ini mendorong Mymagnetikmenu mempelbagaikan lagi produknya termasuk penanda buku, kad dalam pelbagai saiz dan bentuk serta cendera hati lain.

"Kebanyakan produk yang dihasilkan mengikut permintaan dan keperluan pelanggan.

"Kami memberi kebebasan untuk pelanggan menempah rekaan dan corak yang mereka inginkan berdasarkan kreativiti masing-masing.

"Mereka boleh memilih untuk membeli produk yang sedia ada ataupun menyediakan lakaran sendiri untuk kami siapkan," katanya.

Tambah Nori lagi, kini produknya turut mempunyai peminat tetap sama ada dari dalam atau luar negara yang menjadikan ia sebagai koleksi untuk mereka kumpul dan simpan.

"Terdapat dua jenis peminat yang menempah magnet ini iaitu sama ada untuk dijadikan sebagai koleksi peribadi mahupun untuk perniagaan yang mereka jalankan.

"Pelanggan juga boleh menempah dengan dua cara. Pertama, mereka membuat sepenuhnya lakaran menggunakan kreativiti sendiri. Cara ini memudahkan kerja kami untuk menghasilkan magnet tersebut.

"Kedua, mereka ada idea sendiri, tetapi tidak pandai untuk membuat lakaran. Jadi, kami akan uruskan dari segi reka bentuk dan konsep setelah berbincang," katanya.

Nori mengakui, kini produknya telah melepasi pasaran antarabangsa seperti di United Kingdom, Australia, Singapura, dan Indonesia.

"Selain itu, kami juga menerima pelbagai tempahan dari badan korporat, pihak sekolah, universiti dan individu tertentu yang menjadikan f magnet sebagai hadiah mahupun koleksi peribadi.

"Antara produk terbaru keluaran kami adalah buku resipi masakan luahan kreativiti, resipi dan tip masakan dari juri MasterChef selebriti Chef Adu Amran Hassan," katanya.

Bagi peminat yang baru berjinak-jinak mengumpul fridge magnet atau mereka yang merupakan peminat fanatik boleh membeli secara atas talian di www.facebook.com/MyMagnetic atau boleh juga hubungi talian 017-2186266.





Zainab Yaakob Pengusaha Popia Mini

BEBERAPA kali saya membawa para pelawat lewat program Ziarah Korporat dan Media Bersama Asnaf (Zikra) ke rumahnya, yang terletak di Desa Ehsan Sungai Nibong, Sungai Besar, Selangor. Kediaman yang merupakan penempatan berkelompok bagi asnaf yang sebelum ini tidak mempunyai rumah itu, kini menyaksikan beliau bangkit sedikit demi sedikit merubah masa hadapan. Jejak Asnaf kali ini cuba mendekati Zainab Yaakob, 42 bagi mendengar sendiri jerih-perih kehidupan silam dan kesungguhannya membina kehidupan. 
Perniagaan popia mini telah mengubah hidup Zainab Yaakob dengan mendapat keuntungan hampir ribuan ringgit setiap bulan.

"Saya berasal dari Pattani, Thailand dan masuk ke Malaysia sejak 1989. Pada mulanya, saya menjadi tukang masak di beberapa buah restoran di sekitar Kuala Lumpur dengan gaji sekitar RM450 sebulan. Sehinggalah saya mendirikan rumahtangga dengan seorang lelaki tempatan, iaitu pada tahun 1990 dan saya pun berhenti menjadi tukang masak.
"Suami saya kerjanya tidak menentu dan pendapatannya juga tidak seberapa. Selepas berkahwin, kami menetap bersama mertua di Kuala Lumpur. Kemudian, kami mencuba merubah nasib diri dengan berhijrah dan membina hidup baru di Sekinchan, Selangor. 

"Namun, bukanlah mudah mengubah nasib. Di Sekinchan, kami membina rumah di atas tanah rezab milik kerajaan. Ketika itu, kehidupan memang menjerakan. Anak saya kala itu juga sudah masuk dua orang. Pekerjaan suami yang hanya mengutip buah sawit dan kerja-kerja kampung yang lain, menghasilkan pendapatan yang jauh dari memenuhi keperluan," demikian Zainab berkongsi kisah suka-duka dia memulakan kehidupan di Selangor.
Sehinggalah menurut Zainab, sekitar 1998 mereka dipertemukan dengan Pusat Zakat Selangor yang kini sudah pun menjadi Lembaga Zakat Selangor (LZS). Dari saat itulah, sedikit demi sedikit perubahan mulai melanda diri dan keluarganya. 
Modal yang disalurkan oleh Lembaga Zakat Selangor bagi memulakan perniagaan menjual popia mini dalam bentuk mesin dan modal pusing berjumlah RM12,000 telah banyak mengubah kehidupan Zainab yang sebelum ini dihimpit masalah kewangan.


"Tahun 1998 itulah, saya dan keluarga mulai menerima bantuan zakat. Kami juga diberikan peluang memohon rumah di penempatan berkelompok ini. Alhamdulillah, permohonan kami diterima dan di sinilah kami membina kehidupan semula," ujar Zainab.
LZS kala itu telah mulai menyalurkan bantuan asas seperti persiapan Ramadan dan raya juga bantuan persekolahan anak-anak kepada mereka.
"Pun begitu, setelah berpindah ke rumah yang disediakan oleh LZS ini, ia bukanlah bermakna hidup kami terus mewah. 

"Saya masih ingat, kami terus berdikit-dikit mencari arah untuk berubah. Dengan status mata pencarian suami yang tidak tetap dan anak yang kian bertambah, kehidupan terus dicengkam susah.
"Kami pernah berlapar kerana makanan yang sedikit dikongsi berlima. Saya pernah membeli sebungkus mi segera dan dimakan bersama empat orang anak.
"Jika beras sekilo, saya akan masak sikit demi sedikit agar lambat habis. Bahkan bekalan elektrik rumah saya pernah dipotong selama tiga bulan kerana saya tidak mampu nak bayar bilnya. Bekalan air juga sebelum ini pernah dipotong. 


"Di sekolah, anak-anak pernah kena marah dengan guru apabila yuran lambat dilunaskan. Anak-anak saya juga sering ke sekolah tanpa wang saku," katanya.
Ternyata, hidupnya sebagai asnaf memang payah berubah.
"Sebenarnya, suami saya kala itu pernah mendapat modal untuk memulakan perniagaan sebanyak RM5,000 tetapi entah di mana silapnya, perniagaan itu tidak menjadi dan modal habis tidak berbaki," jelas Zainab.


© Utusan Melayu (M) Bhd